Serdang (9 Disember, 2016): Juara bertahan, ATM Guardians menyambar slot penghabisan ke separuh akhir Divisyen Perdana Liga Sepak Takraw (STL) 2016 tetapi dengan bantuan Kedah Eagles dan Melaka Titans yang masing-masing menumpaskan Johor Tigris dan Kelantan Warriors hari ini.

Semalam hajat ATM tertangguh akibat dibenam pendahulu carta mata, Penang Panthers 17-21, 17-21 tetapi dengan 12 mata dan kelebihan set dan matanya yang besar sekarang tetap melayakkan mereka ke peringkat kalah singkir walaupun berbaki satu perlawanan lagi.

Sebaliknya kemenangan di Stadium MPSJ, Serdang Jaya, Selangor itu gagal menghalang Titans daripada menjadi pasukan pertama yang disahkan tersingkir ke Divisyen Satu 2017 kerana kutipan matanya tidak mampu mengejar sekurang-kurangnya pasukan di tangga keenam.

Titans (Sahidan Ali, Amirul Asyraf Idris/Azwan Yahya dan Zarlizan Zakaria) tetap berjuang demi maruah negeri apabila menumpaskan Warriors (Khairul Hisham Yusoff/Hisyam Mat, Wan Naim Izani Noor dan Aidil Aiman Azwawi) 15-21, 21-15, 21-14 dalam tempoh 72 minit.

Hanya Tigris yang boleh menghela nafas lega dengan keputusan itu untuk kekal divisyen elit ini walaupun ditewaskan Eagles 15-21, 21-15, 14-21 dalam tempoh 71 minit kerana memiliki jurang mata menang dan mata kalah yang lebih besar.

Eagles (10 mata) dan Warriors (lapan mata) masih boleh bersaing untuk matlamat yang sama menerusi perlawanan terakhir masing-masing menentang Guardians dan Terengganu Turtles, petang esok.

Nazirul Akram Razali/Asrah Adenan, Shahrol Nizam Romli dan Zuleffendi Sumari terus menyalakan perjuangan Eagles itu sekalipun Tigris (Haidzir Rashid, Norhaffizi Razak dan Lutfil Hadi Azmi) turut mahu menang demi slot separuh akhir.

Eagles sudah tidak mampu meraih empat tempat teratas bagi ke peringkat kalah singkir namun agak bertuah dengan dua mata ini gara-gara tumpuan Tigris yang terganggu dengan beberapa keputusan pengadil.

Perak The Bos Gaurus hanya memberikan Negeri Sembilan The Jangs peluang menerajui carta mata Divisyen Satu kurang dari 24 jam sejak semalam sebelum mereka merampas status itu semula hari ini dengan menundukkan lawan 21-19, 17-21, 21-16.

Meor Zulfikar Mat Amin, Fadzil Mustafa dan Shohibul Fadillah Salam jelas bermandi peluh untuk memastikan dua mata Perak biarpun disaingi sengit Izuan Efendi Azlan, Khairol Zaman Hamir Akhbar dan Syazreenqamar Salehan selama 83 minit.

Pemburuan dua slot Divisyen Perdana 2017 turut kian getir dan mendebarkan apabila Bos Gaurus dan Jangs kini terikat 16 mata di samping Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Selangor yang turut mencapai kemenangan kelapan masing-masing.

Keempat-empat pasukan teratas Divisyen Satu ini juga terikat dengan jurang set menang dan set kalah (10) namun tetap diatasi Perak dengan perbezaan mata menang dan mata kalah (82) diikuti PDRM (69), Jangs (61) dan Selangor (57).

PDRM (Normanizam Ahmad, Shaifullah Nor dan Nazri Hafiz Najib) menyambar kesempatan mencelah ke posisi kedua carta setelah menumpaskan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) B (Faiz Roslan/Iskandar Zulkarnain Salim, Nazirul Akmal Rahman dan Hidayat Rashid Daud) 21-6, 21-14 dalam tempoh 36 minit.

Selangor (Ahmad Sufi Hashim, Najib Rahman dan Muqlis Borhan) pula menumpaskan Perlis 21-12, 21-11 dalam 31 minit manakala Sabah mencapai kemenangan kedua, menewaskan Labuan (regu pelapis negara) 21-15, 21-15 dalam perlawanan selama sejam.

 

KEPUTUSAN:

 

JUMAAT (9 Disember 2016):

Ekspres Perdana Sepak Takraw League (STL):

Kedah Eagles kalahkan Johor Tigris 2-1 (21-15, 15-21, 21-14)

Melaka Titans kalahkan Kelantan Warriors 2-1 (15-21, 21-15, 21-14)

 

JADUAL:

 

Liga Ekspres Perdana Sepak Takraw(STL):

Sabtu (10 Disember 2016): ATM Guardians lwn Kedah Eagles (4pm), Terengganu Turtles lwn Kelantan Warriors (5.30pm).

Ahad (11 Disember 2016): Melaka Titans lwn Kuala Lumpur Thunder (4pm), Johor Tigris lwn Penang Black Panthers (5.30pm).

 

* Stadium MPSJ, Serdang Jaya, Selangor

 

Released by Shekhinah PR on behalf of Asia Sports Ventures.

For more information, please contact:

Jude Anselm William

judewilliam@shekhinah.my

011-1643 7880

Christopher Raj

chris@shekhinah.my

012 – 2161881