Reading Time: 3 minutes

Serdang (18 Disember, 2016): Servis yang konsisten dan peluang yang jarang disia-sia, membolehkan Penang Panthers muncul juara baharu Divisyen Perdana Liga Sepak Takraw (STL) 2016 dengan menumpaskan Kuala Lumpur Thunder 21-15, 21-10.

Kesudahan perlawanan akhir selama 50 minit di Stadium MPSJ, Serdang Jaya, Selangor itu menyaksikan skuad Mohd. Helmi Ismail meraih ganjaran RM40,000 dan memaksa lawan yang diterajui Azhar Sarabini berpuas hati dengan RM20,000.

Panthers diperkuatkan tekong dan perejam negara, Syahir Rosdi dan Azlan Alias selain pengumpan, Zaim Razali menghampakan Thunder yang menampilkan Farid Aziz/Ahmad Aizat Nor Azmi, Hafiz Rahman/Zamree Dahan dan Amirul Zazwan Amir.

Hampir 4,000 orang yang membanjiri segenap ruang stadium, menyaksikan malam gemilang milik Panthers yang turut memenangi peringkat awal liga selama sembilan minggu di samping Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Syahir turut mendapat bonus RM2,500 apabila dinobatkan Pemain Paling Bernilai (MVP) Final (RM1,500) dan Tekong Terbaik (RM1,000) manakala Afifuddin Razali (ATM Guardians) dan Amirul muncul Perejam dan Pengumpan Terbaik, juga RM1,000.

Perak The Bos Gaurus pula membuktikan kemampuan bahawa sebuah pasukan negeri tetap berbisa sekalipun kurang latihan bersama, sehingga berjaya bergelar juara Divisyen Satu STL dengan menundukkan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) A 21-18, 21-18.

Meor Ahmad Zulfikar Mat Amin, Fadzil Mustafa dan Shohibul Fadillah Salam juga hanya memerlukan 49 minit untuk  merangkul RM10,000 sambil Idham Sulaiman, Ridaudin Ghani dan Safarudin Abu Bakar beroleh RM7,000.

Kata jurulatih Bos Gaurus, Ismi Hissan Ismail, “kejayaan ini diharap mengembalikan minat anak muda di Perak kepada sukan tradisi ini dan beralih kepada futsal. Sepak takraw sebelum ini seperti sudah berkubur tetapi kini muncul role model baharu Perak.”

Jurulatih PSM A, Rashidi Nordin berkata, “kelebihan Perak ialah servis tekongnya. Mereka bangkit di luar jangkaan kami walaupun persediaan kami sudah cukup rapi bagi menghadapi final ini.”

Selangor menurut jejak Perak The Bos Gaurus menyertai Divisyen Perdana 2017 apabila memenangi perlawanan penentuan tempat ketiga Divisyen Satu 2016 dengan menumpaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Tekong Shafiq Sharif/Ahmad Sufi Hashim perejam Shafirul Nizam Zainal/Najib Rahman dan pengumpan Muqlis Borhan memastikan slot kedua milik Selangor selepas sejam berentap dengan Normanizam Ahmad/Izzat Zainal Abidin, Shaifullah Nor dan Nazri Hafiz Najib.

Regu bimbingan Affandi Abd. Rahman ini beroleh RM5,000 manakala PDRM yang diterajui Khalid Alias dan terpaksa kembali bermain Divisyen Satu musim depan, meraih RM3,000 selaku pasukan tempat keempat.

Slot Perdana berpindah kepada pemenang tempat ketiga kerana Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) A yang mara ke perlawanan akhir untuk berdepan Perak, tidak akan dinaikkan kerana STL hanya medan pendedahan regu kebangsaan itu.

Kata Afandi yang merehatkan tekong utama, Noor Azman Hamid “kami lambat menyesuaikan diri dalam set pertama tetapi bersyukur dapat naik ke Perdana. Tekong yang kami gilirkan hari ini (Shafiq dan Sufi)  menjalankan tugas dengan baik.”

Kata Khalid, “kami tertekan dalam set kedua sedangkan permainan set terdahulu cantik dan teratur. Apabila lawan mendahului begitu jauh set kedua dan ketiga dengan begitu yakin, kami pula semakin tidak menjadi.”

Sementara itu juara bertahan, ATM Guardians menebus kehampaan separuh akhir kepada Penang Panthers semalam dengan memenangi penentuan tempat ketiga Divisyen Perdana setelah menundukkan Terengganu Turtles 21-12, 24-22.

Hasman Che Hamid, Afifuddin Razali dan Norfaizzul Razak mengambil masa 53 minit untuk terus menghampakan Turtles (Irsyad Faiz Aziz/Zulkifli Razak, Kamal Alfiza Shafie dan Azwan Muhrim yang turut masih luka disekat Kuala Lumpur Thunder semalam.

Kemenangan ini membolehkan Guardians membawa pulang RM10,000 manakala Turtles yang ditimpa kekalahan kelima berturut-turut sejak rekod kebalnya lebur sejak peringkat awal liga 2 Disember lalu, berpuas hati dengan RM5,000.

 

KEPUTUSAN:

 

Ahad (18 Disember 2016):

 

Tempat Ke-3 STL Divisyen 1:

Selangor kalahkan PDRM (17-21, 21-8, 21-12)

 

Tempat Ke-3 Liga Ekspres Perdana Sepak Takraw (STL) 2016:

ATM Guardians kalahkan Terengganu Turtles (21-12, 24-22)

 

Pusingan akhir STL Divisyen 1:

Perak Bos Gaurus kalahkan PSM A (21-18, 21-18)

 

Pusingan akhir Ekspres Perdana Sepak Takraw League (STL):

Penang Black Panthers kalahkan Kuala Lumpur Thunder (21-15, 21-10)

 

* Stadium MPSJ, Serdang Jaya, Selangor

 

Released by Shekhinah PR on behalf of Asia Sports Ventures.

For more information, please contact:

Jude Anselm William

judewilliam@shekhinah.my

011-1643 7880

Christopher Raj

chris@shekhinah.my

012 – 2161881