Reading Time: 2 minutes

KEMELUT kecederaan perejam atau apit kanan yang membelenggu Kedah Eagles sudah pun terlerai minggu lalu namun ‘wabak’ itu seperti menular pula kepada Terengganu Turtles dan ATM Guardians malah Johor Tigris mahupun tekong Melaka Titans dalam saingan Liga Sepak Takraw (STL) 2016 yang memasuki minggu ketiga, Jumaat ini.

 Faris Salleh dan Fadzil Baharuddin menjadi jawapan Eagles gara-gara Shahrul Nizam Romli dan Ali Alhamidi Ayob yang ditimpa insiden luar jangkaan dan kini Turtles mungkin perlu bertindak segera menampung ketiadaan Hanafiah Dolah yang tercedera pangkal paha sebelum tirai STL disingkap lagi.

 Kata pengurus pasukan Eagles, Syed Husain Syed Abu Bakar, “Ali masih dalam kelas yang berlainan dan jika dibandingkan, Faris dan Fadzil agak jauh tetapi mereka cuma kurang pendedahan peringkat kebangsaan. Mereka mencapai kemajuan dalam set kedua (ketika dikalahkan Penang Panthers 14-21, 22-24).”

 Guardians pula berbelah bahagi sama ada masih perlu berharapkan pelibas kebangsaan, Afiffudin Razali yang kurang cergas 100 peratus untuk menghadapi Tigris, minggu lalu yang turut resah dengan kecederaan siku kiri Norhafizi Razak atau nekad menggantikannya dengan apit kanan ketiga, Mohd. Asrie Isa.

 Titans tampak seimbang dengan kedua-dua penyudahnya, Amirul Asyraf Idris dan Azwan Yahya sekalipun kalah dengan ‘bermaruah’ 1-2 kepada Tigris dan Turtles, minggu lalu namun seakan-akan bakal kehilangan khidmat tekong, Khobil Sapair selepas pilihan utamanya, Sahidan Md. Ali tercedera.

 Khobil, 20, menyerlah dalam kedua-dua aksi di Stadium MPSJ, Serdang Jaya, Selangor itu malah dinobatkan Pemain Terbaik Mingguan STL namun kerap terpaksa keluar untuk menerima rawatan kecederaan kaki kanannya manakala seorang lagi tekong remaja, Muhammad Afiq Adnan baru sahaja menjalani pembedahan bahu.

 Pengurus Turtles, Shafei Sulong berkata, “saya tidak nafikan Melaka mempunyai seorang tekong yang bagus dan mampu mencuri mata mudah sehingga kami pula kena buat pertukaran di posisi itu. Itu kelebihan mereka sebelum masuknya Irsyad Faiz Aziz, menggantikan Izurin Refin.

 “Pada peringkat awal pernah bangkitkan soal kecederaan Hanafiah (dialami sejak Grand Prix 1Malaysia, akhir bulan lalu juga bakal terlepas ke Piala Raja Thailand bersama skuad negara) tetapi kami masih menunggu kelulusan rasmi ISN (Institut Sukan Negara) mengenai statusnya.

 “Kami akan cuba membuka balik isu pertukaran apit kanan ini memandangkan Terengganu tidak dapat menghadiri satu mesyuarat pengurus pasukan, minggu lalu kerana berada terlalu jauh. Sekalipun mungkin didenda, kami sanggup membayarnya kerana seperti Kedah, keadaan berlaku di luar dugaan.

 “Kami turut prihatin dengan khidmat Hanafiah yang diperlukan negara bagi menghadapi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dan untuk memastikan bila dia dapat pulih, kami tidak tahu sedangkan STL hanya akan berakhir 19 Disember,” katanya, merujuk posisi kanan Turtles yang kini didukung Fadzli Roslan dan Kamal Alfiza Shafie.

 Panthers pula berdepan isu pelibas yang berbeza. Bukan kecederaan tetapi prestasi apit kanan keduanya, Muhammad Kamal Ishak yang agak hambar sehingga terpaksa digantikan oleh Danial Baharin ketika menentang Kuala Lumpur Thunder sehingga tewas set pertama 9-21.

JADUAL STL 2016 MINGGU 3

Jumaat: Kelantan Warriors lawan Kedah Eagles (8 malam), Terengganu Turtles lawan ATM Guardians (9.30 malam)

Sabtu: Terengganu Turtles lawan Kuala Lumpur Thunder (4 petang), ATM Guardians lawan Penang Panthers (5.30 petang)

Ahad: Melaka Titans lawan Kelantan Warriors (4 petang), Johor Tigris lawan Kedah Eagles (5.30 petang)

Released by Shekhinah PR on behalf of Asia Sports Ventures.

For more information, please contact:

Christopher Raj

chris@shekhinah.my

012 – 2161881