Reading Time: 2 minutes

SERDANG (16 Disember, 2016) – GANDINGAN Farid Aziz, Hafiz Rahman dan Amirul Zazwan Amir yang mencatat kekalahan kedua Terengganu Turtles, 8 Disember lalu, bakal dipertaruhkan semula Kuala Lumpur Thunder dalam pertembungan separuh akhir Divisyen Perdana Liga Sepak Takraw (STL) 2016, esok.

Prestasi cemerlang mereka sehingga menang mengejut pusingan kedua liga itu, 21-13, 21-16 meyakinkan jurulatih Kuala Lumpur Thunder, Azhar Sarabini untuk mengulanginya sekali gus menyambar tiket perlawanan akhir di Stadium MPSJ, Serdang Jaya, Selangor, Ahad ini.

“Kami akan memanfaatkan semula serangan servis kidal Farid dan saya rasa dia mempunyai kelebihan jika Turtles juga mahu gunakan tekong kidal antara Irsyad Faiz Aziz atau Izurin Refin.

“Malah dengan begitu kerapnya Sobey (tekong utama, Zulkifli Razak) dibatalkan pengadil kerana servisnya yang melompat dalam beberapa perlawanan, baru-baru ini, saya percaya Thunder berpeluang lebih cerah ke final,” katanya.

Thunder tewas pusingan pertama liga kepada regu bimbingan Vitthaya Boonta dari Thailand ini, 10-21, 20-22 pada 15 Oktober lalu namun prestasi mereka seolah-olah ‘antiklimaks’ sejak rekod tanpa kalah 11 perlawanan berturut-turut diranapkan Penang Panthers, 2 Disember lalu.

Namun kata Azhar, Turtles pastinya mahu merombak strategi yang digunakan dalam pertemuan pusingan kedua mereka lalu mahupun sasaran servis tekong bagi mencari mata mudah dan segera.

Lagipun pertemuan pertama STL mereka menyaksikan Thunder tampil dengan Ahmad Aizat Mohd. Nor Azmi sebelum beralih kepada Farid dalam pertemuan ulangan apabila tekong kebangsaan itu diserang demam lebih seminggu lamanya.

“Aizat sudah pulih sepenuhnya daripada demam. Mujurlah bukan denggi seperti yang disyaki sebelum ini namun ketika kami menewaskan Melaka Titans (11 Disember lalu), dia turun sebagai pelibas ‘bidan terjun’ kerana Hafiz cedera.

“Saya bangga dengannya apatah lagi ketika itu dia mahu beransur pulih tetapi tetap mampu bermain di posisi asingnya untuk mengapit Farid di sebelah kanan,” kata Azhar. Seorang lagi perejam ialah Zamree Dahan.

 

Released by Shekhinah PR on behalf of Asia Sports Ventures.

For more information, please contact:

Jude Anselm William

judewilliam@shekhinah.my

011-1643 7880

Christopher Raj

chris@shekhinah.my

012 – 2161881