Reading Time: 3 minutes

Serdang (17 Disember, 2016):  Siapa juara musim ketiga Liga Sepak Takraw (STL) 2016 Divisyen Perdana akan ditentukan antara Penang Panthers dan Kuala Lumpur Thunder, esok selepas masing-masing menewaskan ATM Guardians 21-16, 15-21, 21-12 dan Terengganu Turtles 21-14, 21-14 dalam separuh akhir hari ini.

Lebih 3,000 hadirin di Stadium MPSJ, Serdang Jaya, Selangor menyaksikan Panthers menepati statusnya sebagai pemenang peringkat awal liga, minggu lalu manakala Thunder mencipta kejutan, menjinakkan Turtles yang pernah dianggap pilihan utama kerana tidak kalah 11 perlawanan pertama.

Panthers (tekong Syahir Rosdi, perejam Azlam Alias dan pengumpan Zaim Razali) diheret sehingga 72 minit untuk mengesahkan tiket final dan meneruskan pemburuan ganjaran juara RM40,000 selepas menewaskan Guardians (Nazmi Najib/Hasman Che Hamid, Afifuddin Razali dan Norfaizzul Razak).

Dalam sejam Thunder (Farid Aziz, Hafiz Rahman/Zamree Dahan dan Amirul Zazwan Amir) membuktikan saingan kalah singkir bukan lagi seperti peringkat awal liga yang pernah dikuasai Turtles (Zulkifli Razak/Izurin Refin, Fadzli Roslan dan Azwan Muhrim).

Kata jurulatih Thunder, Azhar Sarabini, “apabila kedua-dua tekong lawan ditangkap batal, mereka hilang rentak dan langsung tidak menjadi lagi. Saya hanya buat kawalan bola di gelanggang supaya menepati jangkaan bagi separuh akhir ini.”

Pengurus Turtles, Shafei Sulong berkata, “kami hilang fokus dan lawan bermain baik sekali. Malang sungguh ini kekalahan berturut-turut kami sejak awal bulan ini (sejak rekod tanpa kalah diranapkan Panthers).”

Kekalahan itu kini hanya meninggalkan satu lagi peluang untuk merebut sagu hati RM10,000 kepada Turtles bimbingan Vitthaya Boontha dari Thailand pada perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat (RM5,000) esok.

Perak The Bos Gaurus pula muncul pasukan pertama yang dinaikkan ke Divisyen Perdana 2017 apabila mudah menundukkan Selangor 21-9, 21-13 dalam separuh akhir Divisyen Satu STL terdahulu.

Namun Bos Gaurus yang memenangi pertemuan awal itu kali ini terus berterima kasih kepada tekong mudanya yang berusia 20 tahun, Meor Ahmad Zulfikar Mat Amin dengan servis berbisanya yang meraih banyak mata mudah dan segera untuk mara ke final, esok.

Mengapitnya di kiri dan kanan ialah Fadzil Mustafa dan Shohibul Fadillah Salam manakala Selangor memanfaatkan kelima-lima pemain yang disenaraikan – Noor Azman Hamid/Ahmad Sufi Hashim, Shafirul Nizam Zainal/Najib Rahman dan Farhan Adam.

Perak yang mendapat sokongan padu penyokongnya yang datang beramai-ramai dengan beberapa bas kini akan membuat perhitungan muktamad siapa juara divisyen ini dengan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) A.

Regu kebangsaan itu (Idham Sulaiman/Said Ezwan Said De, Ridaudin Ghani/Noraizat Nordin dan Safarudin Abu Bakar) memenangi pertarungan sengit 90 minit dengan menumpaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 13-21, 21-18, 25-23.

Dua kad kuning yang turut dikenakan pengadil terhadap Safarudin dan Idham dalam set penentuan kerana melengahkan permainan tidak menghalang PSM A untuk menjinakkan Normanizam Ahmad, Shaifullah Nor dan Nazri Hafiz Najib.

Namun baki slot ke Divisyen Perdana masih perlu disahkan dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat hari ini antara Selangor dengan PDRM kerana PSM A hanya beraksi sebagai pendedahan ke arah Sukan SEA Malaysia 2017.

Kata jurulatih Bos Gaurus, Ismi Hissan Ismail,”memang hari ini kami berjaya mendahului jauh lawan dengan servis Meor apabila dia menyumbangkan 12 mata mudah (tujuh dalam set pertama dan lima, set kedua.

“Mungkin Selangor kurang menjadi melalui tekongnya, Azman (Man Kuda) yang saya rasa terjejas akibat lontaran bola apit kanan, (Shafirul/Najib),” katanya yang berterima kasih kepada sokongan padu kerajaan negeri.

“Kami bukan sengaja melengahkan permainan cuma pemain perlu berbincang bagi mendapatkan strategi terbaik pada saat perlawanan yang segenting set penentuan itu, terikat mata penamat beberapa kali.

“Perak berprestasi baik hari ini dapat tumpaskan Selangor dengan mudah tetapi kami juga harapkan bergelar juara divisyen ini dan jangkakan pertemuan esok sehebat peringkat awal liga yang kami menangi dengan tiga set,” kata jurulatih PSM A, Mohd. Rashidi Nordin.

 

KEPUTUSAN:

 

Sabtu (17 Disember 2016):

Pusingan Separuh Akhir STL Divisyen 1:

Perak Bos Gaurus kalahkan Selangor (21-9, 21-13)

PSM A kalahkan PDRM (13-21, 21-18, 25-23)

 

Pusingan Separuh Akhir Liga Ekspres Perdana Sepak Takraw (STL) 2016:

Kuala Lumpur Thunder kalahkan Terengganu Turtles (21-14, 21-14)

Penang Black Panthers kalahkan ATM Guardians (21-16, 15-21, 21-12)

 

JADUAL

Ahad (18 Disember 2016)

 

Tempat Ke-3 STL Divisyen 1:

 Selangor lwn PDRM (4pm)

 

Tempat Ke-3 Ekspres Perdana Sepak Takraw League (STL):

Terengganu Turtles lwn ATM Guardians (5.30pm)

 

Pusingan akhir STL Division 1:

Perak Bos Gaurus lwn PSM A (8pm)

 

Pusingan akhir Ekspres Perdana Sepak Takraw League (STL):

Penang Black Panthers lwn Kuala Lumpur Thunder (9.30pm)

 

* Stadium MPSJ, Serdang Jaya, Selangor

 

Released by Shekhinah PR on behalf of Asia Sports Ventures.

For more information, please contact:

Jude Anselm William

judewilliam@shekhinah.my

011-1643 7880

Christopher Raj

chris@shekhinah.my

012 – 2161881