SERDANG (16 Disember, 2016) – JURULATIH Penang Panthers, Mohd. Helmi Ismail kekal fokus dengan misi memenangi pertemuan separuh akhir Divisyen Perdana Liga Sepak Takraw (STL) 2016 menentang ATM Guardians tanpa memikirkan sentimennya yang juga anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

“Dalam sukan sepak takraw, saya ada misi yang perlu dilaksanakan iaitu memastikan kejayaan pasukan saya, Penang Panthers,” katanya menjelang perlawanan dengan juara bertahan di Stadium MPSJ, Serdang Jaya, Selangor, hari ini.

Penolong jurulatih Sofix Nadzri, pengurus Jeffary Abd. Malek dan tekong kedua, Mohamad Fazil Mohd. Asri turut merupakan anggota perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu seperti mana pemain dan pegawai pasukan Guardians.

Jurulatih,Aswadi Abdullah yang juga anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menerajui gandingan Guardians yang terdiri daripada tekong Nazmi Najib, perejam Afifuddin Razali dan pengumpan Norfaizzul Abd. Razak manakala simpanan ialah Hasman Che Hamid dan Khairudin Adenan.

Jaminan Helmi ini sekali gus menepis tanggapan segelintir pihak yang pernah meragui aksi sebenar kedua-dua pasukan dalam pertemuan peringkat awal STL pada 15 Oktober dan 8 Disember lalu yang terikat 1-1 dan mungkin berlarutan bagi separuh akhir, malam ini.

Guardians yang lambat panas dalam pusingan pertama sehingga menghuni tangga corot saingan lapan pasukan selama beberapa minggu, mengejutkan Panthers (Syahir Rosdi, Kamal Ishak/Azlan Alias dan Suhairi Sulaiman) 13-21, 21-15, 21-18, 15 Oktober lalu.

Namun Panthers yang mulai merampas teraju carta mata daripada Terengganu Turtles, membalas dendam dengan menang 21-17, 21-17 pada 8 Disember lalu ketika skuad Aswadi turut bergelut dalam memastikan kemaraan ke separuh akhir dengan baki dua perlawanan.

Kata Helmi, “pusingan pertama sukar kerana kami perlu mengkaji tahap lawan namun apabila masuk pusingan kedua, kebanyakan corak permainan mereka sudah dapat dibaca jadi itu yang kami menang. ATM mantap dalam pertahanan mereka sehingga mampu mencuri mata.”

Mengenai servis Syahir, tekong utama negara yang dalam tiga perlawanan terakhir agak kerap dibatalkan pengadil sehingga memberikan mata mudah lawan, katanya, “itu banyak bergantung kepada lontaran apit kanan (Azlan atau Kamal).

“Kadangkala kerana mahu lebih cepat menyepak bola lontaran yang kurang sampai dengan, Syahir terpaksa melangkau atau melanggar garisan bulatan posisi tekong,” katanya yang cuba mengatasi masalah itu dalam sesi latihan menjelang separuh akhir hari ini.

 

REKOD PERTEMUAN AWAL LIGA MENJELANG SEPARUH AKHIR STL 2016

 

Divisyen Satu

12 November: Perak The Bos Gaurus kalahkan Selangor 21-17, 19-21, 21-19

10 Disember: PSM A kalahkan PDRM 21-14, 21-18

 

Divisyen Perdana

15 Oktober: Terengganu Turtles kalahkan Kuala Lumpur Thunder 21-10, 22-20

8 Disember: Kuala Lumpur Thunder kalahkan Terengganu Turtles 21-13, 21-16

 

15 Oktober: ATM Guardians kalahkan Penang Panthers 13-21, 21-15, 21-18

8 Disember: Penang Panthers kalahkan ATM Guardians 21-17, 21-17

 

Released by Shekhinah PR on behalf of Asia Sports Ventures.

For more information, please contact:

Jude Anselm William

judewilliam@shekhinah.my

011-1643 7880

Christopher Raj

chris@shekhinah.my

012 – 2161881